2004-08-13

Nasi lemak..nasi lemak..

Setiap pagi saya menghantar Najmi ke taska, saya sering bertembung dengan seorang kakak menjual nasi lemak. Yang mengharukan saya, kakak itu menjual nasi lemak dengan sebelah tangan menolak stroller anaknya, yang usia dalam lingkungan 1 tahun, dan seorang lagi anaknya yang berusia lebih kurang 3 tahun. Desakan hidup mungkin menyebabkan dia berjaja nasi lemak setiap hari. Kalau hari cuti ada dua anaknya lelaki dan sorang perempuan akan tolong menjaja. Mereka akan berpecah lorong-lorong kawasan perumahan kat area taska Najmi. Saya pasti suami akak tu bukanlah seorang yang berjawatan tinggi, kerana semasa membeli saya bertanyalah akak tu tinggal kat mana, katanya kat apartment depan tu. Apartment itu adalah diperuntukan untuk kakitangan sokongan gred 17 dan ke bawah. Kalau kerja gomen gred 17 ke bawah adalah perkeranian, Pembantu am malah pemandu pun dalam kategori rumah yang sama untuk peruntukan kuarters kediaman di Putrajaya. Tepat tekaan saya bila mulut ini ramah bertanya, “suami akak kerja kat mana?” dia menjawab kerja driver kat Jabatan bla..bla..

Jadi apabila kakak itu melihat kegigihan kakak ini saya anggap memang seorang isteri yang baik, dia bersusah payah bangun awal pagi, dengan anak-anak kecil menyiapkan nasi lemak, mee goreng untuk jualan. Saya kagum. Saya teringat kisah silam saya, ingat lagi KISAH INI Bila melihatkan anak-anaknya berjualan, saya sebak dan teringatkan suatu ketika saya juga pernah berjualan nasi lemak. Bezanya mereka menjaja rumah ke rumah, tetapi saya menolong emak berniaga di gerai. Sebab itu tak sampai hati saya kalau tak membeli. Mereka perlukan duit untuk belanja sekolah, sama macam saya perlukan duit belanja sekolah dahulu. Abah saya berkerja pemandu kerajaan sama macam ayah budak-budak itu juga.

Mesti emaknya jual nasi lemak sebab kumpul duit nak beli baju raya untuk anak-anak nanti, duit tu juga emaknya simpan untuk beli pakaian sekolah anak-anaknya nanti, duit itu juga nak belikan susu, lampin anaknya yang kecil dalam stroller tu. Apabila kebetulan saya menghantar Najmi ke taska, kakak itu atau anaknya yang berjual nasi lemak dan mee goreng tu saya mesti beli, sekurang-kurangnya sebungkus mee utk Najmi, beberapa kali dibelikan cikgu beritahu, akak tak payahlah beli, dia tak makan pun buang jer. Makan sikit jer, dan saya jawab, kalau dia tak makan, kasi je kawan-kawan Najmi yang lain jangan dibuang.

Saya memang jarang bersarapan nasi lemak diwaktu pagi, jadi biasanya mee goreng itu saya akan beli utk sarapan. Kadang-kadang saya beli juga dua tiga bungkus nasi lemak kerana hendak ringankan beban dia menjinjing bakul tu, jadi saya sedekahkan nasi lemak tu kat office. Kalau bebudak office kebetulan belum ada sarapan lagi mereka akan ambil nasi lemak tu, kalau semua sudah beli sarapan sendiri, saya akan berikan pada akak pencuci bangunan ni, atau kalau tak jumpa akak tu saya beri pada pak guard je.

Saya memahami perasaan akak itu, bila ada pelanggan datang membeli jualan kita, macam saya dulu semasa berjual berharap cepatlah datanglah ramai-ramai beli, nak cepat balik ni, mengantuknya… Samalah perasaan akak tu, mesti mengharapkan jajaannya cepat habis, dapatlah dia balik awal, rehat, kemaskan rumah, dan masak makanan untuk tengahari dan anak kecilnya dapat bermain-main dalam rumah, bukan duduk dalam stroller sekerat hari.

Itu bezanya orang pernah susah suatu ketika dahulu, hatinya mudah tersentuh. Kadang-kadang orang berjual ubat atau kuih-kuih tradisional pintu ke pintu pun saya tersentuh hati, sebak aje, saya mesti panggil masuk buat air kasi mak cik tu minum dan belilah dodol jer baulu ke, biasanya saya beli dodol, sebab dodol berat. Jadi sekotak dodol saya beli, ringan beban mak cik tu sikit.

Sama juga kisahnya bibik jiran saya, bibik itu sering mengadu tidak selesa dengan majikannya, macam-macamlah yang diluahkan pada saya, tidak perlu saya ceritakan aib jiran saya di sini, tetapi saya tersentuh bila bibik berkata, “ saya kan orang tua ibu, mana bisa diperlakukan begitu, udahlah anak-anak bibik jauh, sayu hati ini ibu,” Aduh saya tersentuh hati. Saya juga pernah jadi anak kepada pemandu, anak penjual nasi lemak, sanggup ke saya satu keluarga duduk makan semeja dengan bibik duduk dapur cuci pinggan mangkuk. Saya tidak betah, sebab itu agaknya saya tidak ambil bibik sebab nanti saya asyik kasihankan bibik. Seperti bibik jiran saya, walau dia bukan bibik saya, tetapi bila majikannya tidak ada, saya belikan bibik roti, belikan kuih, saya kasi minyak angina sebotol, secara curi-curi, semasa bibik jatuh kerusi dan lebam pehanya. Saya kasi sepapan panadol kalau bibik sakit kepala. Bibik kata, “bapak potong gaji kalau minta dibelikan obat, atau di bawa ke rumah sakit, dibeli sabun juga bisa dipotong gajinya,” Ermm agak begitu ye?

Entahlah mudah-mudahan Allah peliharakan akhlak saya jangan ada perasaan bongkak begitu Tuhan tolonglah, malunya mak abah saya kalau dia punya anak tak sedar diri begitu, baru keja jadi pegawai cabuk kerajaan sudah bongkak sendiri, janganlah Kau alihkan hati aku ini Ya Allah, sentiasalah pelihara hati ini agar sentiasa punya erti kasihan kepada orang lain. Semoga anak-anak aku nanti Kau peliharalah jiwa mereka jangan ada perasaan sombong dalam diri mereka….aminnnnnnnnnn

« LAMA :: BARU »

menu

baru
lama
saya
glamour
komen
geng