2004-04-14

Weblog dan anda

Kalau ada adalah seorang blogger atau anda seorang pembaca weblog di alam cyber ini, janganlah melepaskan peluang untuk mendengar radio 1, esok Khamis 15/4/2004, jam 4.15 - 5.00 ptg. atau kalau tak ada radio tapi ada internet dan speaker, dengarlah melalui cyber, melalui www.radioaktif.tk, atau melalui radio1.com.

Insya-Allah kalau umur panjang dan sihat, saya dan seorang penulis weblog yang amat berprestij iaitu MAT JAN akan ke udara dari konti radio satu untuk membincangkan mengenai dunia weblog dan pengalaman dalam dunia weblog. Beberapa nama besar yang saya cadangkan untuk sessi ini tidak dapat hadir kerana mereka ada urusan rasmi kerja mereka di luar daerah. Jadi penganjur minta saya sahaja yang hadir untuk sessi itu, dan beliau bersetuju saya memilih Mat Jan kerana Mat Jan memang gila glamour..ha..ha...tak lah, sebab Mat Jan menang weblog terbaik hari tu.

Kalau ada Geng Jurnal jangan lepaskan peluang untuk mendengar dan memberikan sokongan kepada usaha mempromosi weblog kepada masyarakat Malaysia. (Mempromosi penggunaan weblog kepada orang lain, bukan promosi weblog sendiri yer...)

Antara soalan yang bakal di tanya ialah mengenai pandangan saya bagaimana dikatakan weblog yang baik. Secara jujur, saya akan menjawab weblog yang jujur ialah weblog yang di tulis dengan ikhlas, dan bukan menulis untuk populariti atau menjadikan weblog sebagai medium untuk seseorang itu menunjukkan kemegahan dirinya. Weblog yang bagus ialah di tulis dengan hati yang ikhlas apa yang ingin disampaikan, tanpa ada sekelumit pun rasa riak. Kalau kita asyik tulis perkara yang membuatkan orang meluat hendak membaca maka automatik, itu bukan weblog yang baik.

Kalau anda semua pernah membaca novel Diari Bonda 1 &Diari Bonda 2 tulisan Rohani Din, anda pasti akan membuat pelbagai persepsi yang berbeza. Diari Bonda bukanlah novel watak di dalam novel itu yang di reka-reka. Karya Rohani, seolah-olah tulisan weblog yang dikumpul dan di bukukan. Rohani menulis kisah perjalanan hidupnya, terutamanya sewaktu dia mengalami keperitan hidup, bilamana, suaminya mengidap sakit jantung, tidak boleh bekerja membawa teksi lagi. Rohani perlu cekal bekerja siang malam mencari duit bagi menyara keluarga.

Dalam masa yang sama, anak bongsunya SIti, jatuh sakit misteri, sehingga dari seorang anak yang amat pintar, Siti menjadi seperti bayi yang baru berusia 5-6 tahun. Bayangkan bagaimana seorang ibu menghadapi situasi ini. Keadaan memaksa anak-anak yang sudah besar dan bersekolah menengah bekerja di Restoran bagi membantu keluarga. Ada masanya air mata menitis kerana mengenangkan betapa cekalnya hati Kak Ani. Dalam masa yang sama, ada kalanya kita rasa agak marah, kerana walau dia tidak mempunyai banyak duit, tetapi sanggup berhabis duit duit kenduri, menjamu orang masjid, bawak anak-anak berjalan ke Langkawi. Tetapi kita tidak tahu yang Kak Ani sanggup buat apa saja untuk anaknya gembira.

Ada kalanya dia memarahi dan merungut-rungut memarahi peel suaminya yang tidak bertanggung jawab. Dia membebel-bebel dalam diarinya itu. Betul-betul seperti sebuah weblog. Dia tulis kisah hari-hari dia. Sama seperti Sera menulis weblognya, sama seperti Kak Su (rasanubari menulis weblognya) dan catatan mereka bagi saya amat menarik, kerana Sera dan kak Su menulis dari hati yang ikhlas. Cuma Rohani perlukan duit, jadi Diari yang di tulisnya hari-hari di jaja ke Karangkraf, dan pihak di sana bersetuju menerbitkan Diari itu menjadi sebuah novel. Dan Kak Ani tulis dalam Diari Bonda itu bagaiman dia naik bas dari Singapura ke Karangkraf dan berbincang mengenai Diarinya yang akan dinovelkan. Dan Novelnya tebal, dan saya masih menanti Diari Bonda 3, kerana hendak tahu perkembangan Siti. hendak tahu kisah hidup Kak Ani selanjutnya, hendak tahu apa jadi kepada Sani yang gila bayang.

Saya rasa kalau Sera bukukan kisah hidup dia, mesti ramai yang suka sama seperti saya suka membaca Diari Kak Ani.

Tulis weblog sama macam tulis novel, ada orang suka baca novel kisah begini, ada orang suka kisah begitu, jadi terpulang kepada pembaca yang membuat penilaian. Kan..kan....

« LAMA :: BARU »

menu

baru
lama
saya
glamour
komen
geng