
2004-02-13
Berkursus/training/on job training/praktikal/ apa jua perkataan seangkatannya..
Mulai minggu depan 16 Februari 2004 hingga 16 Mac 2004,(sebulan) saya akan menjalani apa jua yang saya sebutkan di atas, di sebuah badan swasta di Shah Alam. Saya tidak suka sebenarnya. Memang tidak suka, tetapi apa boleh buat, saya diarahkan. Dan orang yang mengarahkan saya ialah orang yang tidak mampu untuk saya berbincang dan bertolak ansur. Saya akur, siapalah saya, sepanjang sebulan itu jua saya mungkin tidak berkesempatan untuk mengupdate jurnal saya.
Sebulan??? iya sebulan..saya hanya boleh claim pergi dan balik. Itu sahaja, tol setiap hari ulang alik Putrajaya Shah Alam RM6.40, minyak harap RM50.00 boleh tahan seminggu. Gaji saya berapa sen sangatlah kan? Dan mulai bulan ini juga saya perlu menghantar duit belanja kepada adik saya nun jauh di Langkawi sana. Dan juga untuk belanja mak abah di rumah sana. Tanggungjawab saya rasakan, dan untuk itu, saya perlu pandai mengatur perbelanjaan rumah tangga saya sendiri.
Ada teman di pejabat saya kata, kenapa perlu sekadar hendak masuk ke Sekolah Teknik sahaja perlu dihantar hingga ke Langkawi sana. Satu soalan yang saya kira saya perlu perjelaskan. Saya sudah berikan nasihat kepada adik saya, pro dan kontra dia hendak masuk ke sekolah teknik. Adik sendiri sudah menyatakan kerelaan hatinya kalau tidak ada duit, kalau agak membebankan dia tak kisah, dia boleh tolak. Tetapi sikgu kaunseling disekolahnya menasihatkan supaya dia menerima. Saya katakan kepadanya, dia sekolah mana pun sama, nanti SPM jawab kertas yang sama, cuma mungkin kalau di teknik dia ada subjek teknikal, itu sahaja. Tetapi katanya dia minat, bidang itu.
Saya tidak mahu alasan duit jadi halangan. Saya usahakan cari seribu yang mak perlukan, or lebih tepat, darling usahakan mana yang ada, beri kepada mak untuk perbelanjaan dia ke asrama, yuran dan sebagainya. Saya sudah lalui, perasaan bagaimana orang lain sibuk mengisi borang sekolah teknik dahulu, saya tidak isi kerana tak mahu menyusahkan abah, kerana saya tahu abah tak mampu kerana adik-adik ramai bersekolah kala itu, Saya tak mahu adik saya rasai apa yang saya rasa. Biarlah dia boleh belajar dengan peluang yang ada. Janganlah dia rasa apa yang saya rasa dahulu. Saya dulu tidak ada abang atau kakak yang boleh bantu menyara, tapi adik punya along yang sudah kerja, tetap dan berpencen pula.
Dan saya turut menghantarnya hingga ke Langkawi sana walau denagn RM yang cukup-cukup sahaja, saya belikan apa yang perlu untuk dia, biar dia belajar dengan selesa, tidak mahu ada kekurangan ketara yang akan membuat dia tak selesa. Saya usahakan jumpa Penolong Kanan HEM di sekolah itu merayu penempatan asramanya. Syukur dia dapat asrama. Cuma kami agak terkilan kerana dia pohon kursus Hortikultur Hiasan dan Landskap tetapi ditawarkan kursus Agro Teknikal. Dia sedikti down, saya jumpa Ketua Kursusnya, minta ditukarkan semula, tetapi katanya keputusan PMR adik saya bagus, lebih baik ambil kursus teknikal dari ambil kursus vokasional, peluang lebih cerah melanjutkan pelajaran dalam aliran teknikal.
Ermm...saya tidak pasti, cuma berkali-kali saya pesan kepada adik, buat SPM nanti betul-betul yang penting keputusan SPM mesti bagus, kalau tidak mampu ambil add math, jangan ambil. Saya doakan adik saya berjaya...Dan saya juga berdoa saya sentiasa murah rezeki supaya dapat saya bantu keluarga dengan lebih baik. Cuma saya harapan mak abah saya, adik kedua saya??? Ermm dia sendiri bukan senang, adik ketiga, kerjanya masih belum tetap.
Kadang terfikir, untung orang yang tidak menjadi anak yang sulung, terutama yang ada 2-3 orang kakak/abang di atasnya. Saya sedari kecil sudah merasa susah payah cari duit. Dulu mak membuka gerai makan, jual nasi lemak/nasi campur. Lepas siapkan kerja sekolah, petang saya mesti kopek ikan bilis, gunting cili kering, kupas bawang, rebus cili yang sudah digunting, blender dan tumis cili sampai kering. Rutin!! Itu untuk jualan nasi lemak pagi besoknya. Pagi sebelum pergi sekolah mesti tolong mak angkut barang jualan ke gerai di tepi jalan.
Sementara menanti bas sekolah lebih kurang jam 7.15 pagi, saya tolong mak bungkus nasi lemak, tolong layan pelanggan yang datang. tapi saya seronok, sangat seronok, saya suka berniaga. Kadang-kadang kalau hari ada pasar malam, saya akan tolong Pak Man, berniaga pasar malam, saya suka menimbang gula, tepung, cili, garam. Pak Man berniaga barang runcit di Pasar Malam, saya suka bungkus barang yang minta pelanggan, timbang dan kalut-kalut time pelangan ramai. Dapat sedikit upah, tapi mak tidak tahu hal itu, sehinggalah ada jiran datang membeli dan mereka beritahu mak, puas saya dimarahi emak. Katanya macam mak abah tak mampu sangat nak bela anak. Tetapi sebenarnya saya suka...bukan pasal duit sangat.
Saya juga pernah menjual gambar-gamabr artis pada kawan-kawan sekolah. Masa tahun 1990, tengah top kumpulan New Kids On The Block dan cerita police academic (cerita cina) jadi saya jual gambar-gambar mereka. Kedai gamabr jual kepada saya 40 sen, dan saya jualkan semula gambar-gambar itu dengan harga 70 sen. Untung jual gambar itu sampai saya boleh beli jam swatch he..he...pelanggan saya bukan sekadar sekolah saya, malah sampai ke sekolah-sekolah lain, kerana saya ambil order melalui album gambar dan saya edarkan album kepada kawan-kawan disekolah semasa dalam bas sekolah.
Saya seronok mencari duit sendiri, jadi saya tidak perlu minta duit mak/abah kalau nak beli jam, baju, kaset kumpulan Iklim dan Wings (tenagh top masa tu) Indahnya kenangan itu...
« LAMA
::
BARU »