
2003-10-27
Puasa...puasa..puasa..
Seperti biasa...ramadhan tiba lagi..aku tidak mahu bercakap soal fadhilat ramadahan sebab semua orang sudah maklum, ia satu fakta bukan dongeng yang mencerita kesahihan fadhilat ramadhan. Yang paling penting doa tidak putus-putus hajat di hati sempena bulan puasa, dan berharap semoga Allah makbulkan doa kami. Ermmm kami bercadang untuk menambah ahli rumah dan semoga ahli rumah baru kami nanti adalah seorang puteri. Amin... Najmi dah cakap adik dia nama Natrah. Ermmm Najmi..Najmi...
Ok berbalik soal bulan puasa, saat puasa paling manis ialah semasa semua ahli keluarga ada bersama. Sama-sama bersahur, dan sama-sama berbuka. Nostalgia puasa aku masa kecil memang seronok tapi tidak seronok sebab kami adik-beradik sering melukakan hati emak, biasalah budak-budak selalu bertelagah berebut itu ini, dan sudahnya mak cuma minum air, dan pergi semayang sebab malas nak dengar kami asyik bertekak. Dulu-dulu kami bukanlah mewah duit ringgit macam budak-budak zaman sekarang, sebut sahaja apa yang hendak di makan mak abah sediakan. Dulu bazaar ramadhan pun tak der meriah sangat. Hendak membeli pun mak timbang-timbangkan, mana nak simpan duit untuk buat kuih raya, nak beli baju dan belanja tambang balik kampung, maklumlah bukan ada kereta masa tu.
Dulu-dulu semua-semua mak nak masak, kebiasaan kami berbuka jarang makan nasi, mak akan masak, mee hoon, keow tiaw, laksa, bihun sup, mee rebus makan nasi hanya waktu bersahur. Tapi kami suka dan happy kerana nanti Mak Jah bagi kuih talam, Mak Zarah bagi karipap, Mak Siah bagi kuih keria, Mak Mah bagi itu...bagi ini, seronoknya. Walau aku bukan tinggal di kampung, tapi di rumah taman, tapi itulah tempat aku membesar, dan tentunya aku rindukan saat-saat tempat aku membesar. Rindu berkumpul ramai-ramai depan tembok rumah mendengar azan dari surau atau bunyi siren dari kem askar. Dan kami adik beradik akan berlari-lari terjerit, mak...mak...dan bunyi...dah bunyi..kemudian mak marah...buat apa bising-bising time maghrib. Tapi esok kami buat perkara yang sama.
Malamnya kami pun sibuk berterawikh, niat solat fardhu pun baca tak berapa betul inikan pula solat terawikh. Tunggang terbalik sembahyang penat jer dapat. Tapi tak apa, itulah namanya budak-budak. Bila dekat-dekat nak raya dapat main bunga api dan mercun, mak beli juga sebab kesiankan anak orang lain main bunga api, kami pun nak bagi tapi sehari mak bagi 5 batang sahaja, mainlah jimat-jimat. Tapi seronoknya sebab meriah terang benderang sekitar halaman semua rumah orang.
Bila masuk UiTM sedih berpuasa berjauhan dari keluarga, tetapi seronok juga berbuka beramai-ramai dengan kawan-kawan sebilik atau kroni-kroni sekursus. Kehidupan aku sebagai mahasiswa memang aku duduk di kolej dari part 1 sampai grad iaitu part 7. Sebab aku memang aktif dan lasak dan menjadi kesayangan pengetua. jgn mare..So biasanya pukul 6 ptg dewan makan sudah mula di buka, bulan puasa kami diberi kelonggaran boleh menapau makanan. Jadi aku dan kawan-kawan kongsi-kongsi ramai pergi ambil makanan di dewan makan. Selepas makanan semua di hantar ke bilik kami akan turun semula berjalan-jalan sekitar pusat inovasi dan pusat bahasa korea di pintu pagar belakang. dulu tempat tu baru separuh siap jer, jadi itulah port kami berlepak-lepak. sekarang ni jalan tu sudah sibuk sudah tidak sesuai melepak-lepak di situ.
Bila lagi sepuluh minit waktu hendak berbuka kami jalan ramai-ramai balik ke hostel dan bersiap sedia untuk berbuka, sambil makan mulut menyebut-nyebut apalah nak mak masak kat rumah hari ni, dan ramai-ramai terasa sebak. Kami dulu semua bukan anak orang senang, jadi makan sahaja apa yang ada didewan makan, jarang sekali nak keluar makan di luar, sekali sekala je kot. Makan sahaja apa yang ada, daging selipar (liar macam getah sekerap), ikat jaket, puding cha-cha( bubur cha-cha sebenarnya tapi sudah lembik dan beku jadi macam puding) semua kami makan. Begitu juga sayur, ikan masin liat pun kami makan.
Dulu aku di Blok A1 Kolej Anggerik, bilik aku paling dekat dengan rumah residen. (biasalah bilik presiden...he..he..) jadi residen staff kami En. Amizar, x-budak hotel catering, dia suka masak-masak dan best dia akan hantar ke bilik aku sekali..bestnya. Dia lah yang ajar aku buat murtabak meggi. Meskipun sekarang aku sudah terror buat murtabak meggi tapi saat ini aku rindukan murtabak meggi pertama kali aku makan di masaknya.
Sekarang aku sudah kerja, ada duit sendiri, aku mampu beli apa sahaja makanan yang aku tidak mampu beli tetapi aku teringin masa aku kecil dahulu, tetapi aku tidak teringin membeli, sebab terasa tidak seronok makan tidak berebut dengan adik-adik. Tidak seronok mengenangkan aku tidak usik mengusik gelak ketawa dengan kawan-kawan di bilik asrama. Betul kata orang, kita akan betul-betul akan menghargai sesuatu bila kita sudah kehilangannya. AKu sudah kerja, sudah kahwin sudah ada keluarga sendiri, adik pompuan aku sudah kawin, sudah ada keluarga sendiri, tinggal adik bongsu Wani dan Jan sahaja di Sungai Petani, Jan bulan puasa sibuk berniaga, tinggal Wani, mak dan abah berbuka 3 beranak. sama seperti kami di sini. Dan aku rasa aku hilang semua kemeriahan dahulu. Kejap berhenti sapu air mata..
Apa guna aku ada duit untuk membeli apa juga yang aku inginkan tetapi di meja makan aku tidak ada insan yang sama seperti di meja makan 10-15 tahun yang lalu. Yeah...life goes on...itulah putaran hidup sebenarnya kan? Kalau dulu masa student pergi pasar ramadhan kat seksyen 2 Shah Alam tu, mesti tak nak bawak duit banyak sebab takut terboros nanti aku tak cukup belanja, dan aku sering merungut masakan kat dewan makan tidak sedap, rasa payau, rasa tawar, rasa masin...tapi kini makanan masin payau itulah yang aku rindukan.
Air selasih + kembang semangkuk, getah anggur, yang abah buat aku selalu merungut geli dan macam-macam tapi abah cakap elok minum, dapat sejukkan badan, aku terpaksa minum, dan kini aku rasa rela serela nak minum air itu tanpa paksa...tapi abah suda tidak segagah dahulu untuk buat semua itu, hatta kencing berak dia pun orang lain uruskan. Dulu aku masih tidur, bila bangun mak sudah sediakan segalanya, tetapi kini aku sendiri bangun sediakan segalanya untuk suami tercinta. Satu putaran hidup sudah ku lalui.
Aku harus berhenti, nanti budak-budak office aku perasana pulak aku bersedih depan pc......stop!!!!!
« LAMA
::
BARU »